Perbezaan nasi dagang Terengganu dan Kelantan
Meskipun nasi dagang ini merupakan antara jenis nasi yang utama
di kedua-dua buah negeri Terengganu dan Kelantan, namun sebenarnya terdapat
beberapa perbezaan yang ketara dari segi rupa dan rasa nasi dagangnya.
1. Nasi dagang terengganu
Nasi dagang Terengganu secara kebiasaannya, diperbuat daripada
campuran beras biasa dan beras pulut dan dimasak bersama santan kelapa
(dikukus). Bagi lauknya pula, nasi dagang Terengganu dihidangkan bersama kuah
nasi dagang yang dimasak dengan menggunakan rempah khas (berlainan dengan
rempah kari biasa). Ikan yang digunakan biasanya ikan Aya Hitam (ikan tongkol)
yang bersaiz besar, dipotong. Selain itu acar timun juga disediakan. Nasi
dagang Terengganu pada hari biasanya menjadi hidangan sarapan pagi bagi
masyarakat Terengganu dan juga hidangan istimewa bagi acara-acara tertentu.
2. Nasi dagang Kelantan
Nasi dagang kelantan ini kebiasaannya berwarna merah atau keperang-perangan
kerana menggunakan beras khas yang hanya dijual di Kelantan sahaja. Manakala
bagi lauknya pula, ia biasanya dimakan dengan gulai ikan atau gulai ayam yang
khusus untuk nasi dagang. Gulai ini biasanya dipanggil gulai kunyit lengkuas.
Biasanya ia juga diletakkan sehiris telur ayam rebus yang dibelah empat. Selain
itu, istimewanya nasi dagang Kelantan ini kerana ia juga dimakan dengan sambal
kelapa. Ini adalah agak berbeza dengan Terengganu, kerana di Terengganu,
hidangan nasi dagangnya harus menggunakan rempah gulai ikan yang khusus dan
bahan lain seperti ayam atau daging tidak pernah dijadikan sebagai lauk bagi
nasi dagang di Terengganu.
Pada hari ini, hidangan nasi dagang ini telah berevolusi dan
turut dapat ditemui di negeri-negeri serta daerah lain di luar Terengganu dan
Kelantan. Sebagai contohnya, di Johor dan sesetengah daerah di Pahang seperti
Raub, Pekan, Temerloh dan Kuantan, terdapat juga versi-versi nasi dagang yang
menggunakan kuah laksa sebagai kuah pilihan.
Nasi dagang sebagai makanan warisan kebangsaan
Sejak tahun 2009 lagi, nasi dagang ini telah tersenarai sebagai salah satu
daripada hidangan tradisional yang menjadi makanan warisan kebangsaan. Oleh
itu, adalah wajar bagi seluruh rakyat di Malaysia untuk menghargai dan bangga
dengan kewujudan hidangan ini sebagai salah satu warisan bangsa kita. Malah,
bagi masyarakat di Terengganu dan Kelantan, ilmu memasak nasi dagang ini
merupakan antara asas memasak yang harus dikuasai oleh mereka terutamanya bagi
golongan wanita.
